Kota Tinggi: Masih gagah berjalan pada usia 103 tahun, Kastawi Esa tidak pernah menyangka berpeluang menikmati kehidupan lebih baik selepas melalui episod gelap dipaksa menjadi buruh pembinaan Landasan Kereta Api Maut semasa pemerintahan Jepun. © New Straits Times Press (M) Bhd
KASTAWI di Felda Sg Sayong. FOTO Aswadi Alias
Kota Tinggi: Masih gagah berjalan pada usia 103 tahun, Kastawi Esa tidak pernah menyangka berpeluang menikmati kehidupan lebih baik selepas melalui episod gelap dipaksa menjadi buruh pembinaan Landasan Kereta Api Maut semasa pemerintahan Jepun.
Dilahirkan di Kampung Punggur, Rengit, Batu Pahat pada 13 April 1923, Kastawi melalui zaman muda penuh penderitaan apabila dipaksa tentera Jepun meninggalkan kampung halaman untuk menjadi buruh paksa di Thailand sekitar awal 1940-an.
Menurut Kastawi, pada usianya 17 tahun, dia bersama ratusan pemuda lain ditahan tentera Jepun sebelum dihantar melalui Changi, Singapura ke Vietnam dan seterusnya ke Bangkok untuk membina Landasan Kereta Api Maut yang menghubungkan Ban Pong dengan Thanbyuzayat, Burma (Myanmar).
Katanya, kehidupan sepanjang hampir tiga tahun di negara itu amat menyeksakan apabila buruh dipaksa bekerja di tengah hutan dengan bekalan makanan sangat terhad selain hanya bergantung kepada air sungai.
Disyorkan
"Saya tidak tahu hendak ke mana. Malam tidur, siang bekerja. Hari apa termasuk hari raya pun tidak tahu.
"Kami kerja di bawah kawalan tentera Jepun. Kalau salah sikit pasti dipukul dengan kayu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Felda Sungai Sayong, di sini.
Lebih memilukan katanya, buruh yang meninggal dunia akibat penyakit atau kecederaan hanya ditinggalkan begitu sahaja tanpa sebarang rawatan.
"Ramai meninggal dunia sebab penyakit kulit, tokak dan kudis yang semakin merebak kerana tiada ubat.
"Saya bernasib baik walaupun mengalami luka akibat bekerja di hutan, kecederaan itu akhirnya sembuh sendiri.
"Saya cuma guna empulur pisang dicampur garam yang ditampal pada luka. Itulah ubat yang ada masa itu," katanya.
Daripada lapan pekerja dari kumpulannya, Kastawi berkata, hanya dua orang berjaya pulang ke tanah air selepas Jepun menyerah kalah kepada British.
Katanya, dia kembali bekerja di ladang Sri Gading sebelum menerima pelawaan kerajaan menyertai pembukaan Felda Sungai Sayong pada 17 Ogos 1968.
"Masa itu saya sudah berkeluarga dengan tujuh anak.
"Orang kata jangan pergi kerana kerja di ladang ada gaji tetap.
"Di Felda pula kehidupan susah. Masa itu elektrik tiada, jalan belum berturap, air paip pun merah dan keruh," katanya.
Kastawi bagaimanapun nekad berpindah bersama keluarga sebagai antara kumpulan terawal peneroka walaupun ramai pulang ke kampung selepas tidak tahan berdepan malaria, cuaca panas dan kemudahan yang serba kekurangan.
"Ramai orang tidak tahan lari balik kampung. Kami sekeluarga bertahan sebab percaya kehidupan akan berubah," katanya.
Keputusannya itu akhirnya membuahkan hasil apabila tanah seluas 4.05 hektar yang diusahakan menjadi sumber rezeki keluarga sehingga berjaya membesarkan sembilan anak.
"Selepas isteri meninggal dunia empat tahun lalu, saya tinggal bersendirian, namun sentiasa ditemani anak yang bergilir-gilir datang menjenguk, menghantar makanan dan membawa saya menunaikan solat Jumaat," katanya.
Walaupun sudah berusia lebih satu abad, Kastawi mengakui tidak mempunyai sebarang petua istimewa untuk kekal sihat.
"Saya makan macam biasa sahaja. Minum air kosong, air manis ada juga sekali-sekala cuma tidak minum air bergas.
"Semua ini rezeki Allah. Yang penting jangan tinggal solat, mengaji dan bangun solat malam mengikut kemampuan," katanya.
Dia yang masih mampu berjalan sendiri dan tiada sebarang penyakit berkata, jika dibandingkan segala kesusahan yang pernah ditempuhi ketika zaman Jepun dan awal pembukaan Felda, kehidupan hari ini jauh lebih baik.
"Macam-macam kesusahan sudah kami lalui.
"Alhamdulillah, sekarang kemudahan pun semakin banyak, jadi bersyukur dan hargailah," katanya.
Untuk rekod, Landasan Kereta Api Maut dibina tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua untuk tujuan menghantar bekalan dan tentera.
Projek sepanjang kira-kira 415 kilometer itu terkenal sebagai antara pembinaan paling kejam dalam sejarah kerana mengorbankan puluhan ribu buruh paksa dan tawanan perang akibat kebuluran, penyakit serta layanan tidak berperikemanusiaan.
Disiarkan pada: Jun 28, 2026 @ 4:56am
PM Umum Perkhidmatan Percuma LRT Laluan Shah Alam Selama Sebulan
▶︎ 1:11
PRN Johor, Undi Umno Di Kerusi Tak Ditandingi PN - Tuan Ibrahim
▶︎ 1:09
Isteri Kembali Kritikal, Muss Bergegas Ke Hospital Lepas Konsert
▶︎ 1:05
Bellingham, Kane Bawa England Muncul Juara Kumpulan
▶︎ 1:24
10,000 Pengguna Manfaatkan BUDI Diesel Pada Hari Pertama
▶︎ 1:05
Hidangan Udang Celup Tepung Sepanjang 1km Catat MBOR
▶︎ 1:46
Elak Kempen Kutuk Sana Sini, Tumpu Usaha Menangi Hati Rakyat - Johari
▶︎ 1:21
Trending
\
\
Hakim Danish ketujuh GP Belanda \
\
Jun 28, 2026 @ 6:26am
\
\
Kesihatan Mak Jenny merosot, Nubhan mohon doa orang ramai \
\
Jun 28, 2026 @ 5:03am